Featured Articles

 

  website

Login

  • Register

Featured Articles

UMCares Semasa Pasca Banjir

post-floodFinally we arrived UM yesterday at about 8.00 pm.

Just nak kongsi kenangan dan pengalaman daripada secebis misi bantuan banjir yang dijalankan di Kampung Gajah Perak. Kalau nak dibandingkan dengan apa yang orang lain buat & bantu, memang tak ada nilai langsung lah apa yang dibuat di sana. Sebab kami membantu hanya sekadar yang mampu sahaja.

Day 1 : 16 Januari 2015 (Friday)

Kami berkampung di Pusat Latihan Staf UiTM Kampung Gajah yang terletak di tengah-tengah kampung dan jauh dari bandar. Bandar terdekat adalah Pekan Kampung Gajah, Tapak dan Teluk Intan.

Team kami terdiri daripada:
2 orang doktor daripada PPUM
2 orang Ustaz dari API
2 orang pengutip sampah dari UMCares (haha)
2 orang staf admin dari Dentistry Fac.
dan 120 orang pasukan PALAPES Universiti Malaya.


Team kami diketuai oleh Dr. Syed Razak PALAPES / Pengetua Kolej 5 dan dibantu oleh En. Mukmin Pegawai Pejabat Keselamatan UM.

Sesampainya kami di Pusat Latihan UiTM, saya agak terkesima kerana di situ terdapat lebih kurang 100 buah keluarga yang menunggu dan terus menunggu sejak 24 Disember 2014 sehingga sekarang dan mereka langsung tidak tahu dan terus menunggu bilakah mereka dapat pulang ke rumah mereka kerana rumah mereka masih tenggelam dengan air banjir.

Saya lihat dengan mata saya sendiri bahawa air banjir di kawasan rumah kampung mereka berwarna hitam kerana ia bercampur dengan minyak, lumpur, najis, dan macam2 lagi kekotoran dan ianya berbau busuk kerana ia nya "stagnant" dan "anaerobic" dan sungguh tidak selesa dan tidak menyenangkan kalau berada di tempat tersebut kerana terdapat vektor yang mengundang penyakit. 

Semua barangan di kediaman mereka musnah dan sangat memilukan adik-adik yang akan memulakan sesi persekolahan mereka tidak dapat menuntut ilmu. Saya tak dapat bayangkan kalau saya di tenpat mereka, sesungguhnay mereka sangat kuat. "they are so strong!!" Itu yang mampu saya lafazkan.

Jadi, pada malam itu di Pusat latihan UiTM, kami semua berjumpa dengan keluarga-keluarga istimewa tersebut dan mengambil iktibar atas pengalaman mereka menghadapi ujian tersebut. Sebelum tidur, kami menjalani taklimat untuk pergerakan perjalanan misi hari pertama pada hari Sabtu.


Day 2 : 17 Januari 2015 (Sabtu)

Pada misi pertama kali ini, kami ditugaskan untuk membantu memulihkan Dewan Orang Ramai dan Sekolah di Kampung Pulau Gajah, Kampung Gajah. Team kami dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan saya dan Asyraf diarahkan untuk memulihkan Dewan Orang Ramai Kampung Pulau Gajah. Team satu lagi membantu mencuci sekolah di kampung tersebut. 

Melalui misi kali ini, saya belajar untuk menjalankan pembersihan pasca banjir secara sistematik daripada Dr. Syed Razak. Antara yang saya nak kongsikan ialah sistem pengurusan pembersihan dewan tersebut. Pertama sekali, team kami mengeluarkan segala perabot yang ada di dalam dewan, seperti kerusi, meja, pinggan mangkuk, buku dan dokumen-dokumen penting. Terdapat barang-barang yang rosak dan barang-barang yang boleh digunakan lagi. Jadi disebabkan saya adalah daripada UMCares, jadi Dr. Syed Razak mengarahkan saya mengetuai kumpulan mengutip sampah di seluruh kawasan dewan. Usaha untuk mengutip sampah yang sangat busuk, basah dan kotor sangat menguji saya. Semasa mengutip sampah tersebut, saya belajar erti sabar, fokus dan hilangkan ego. 

Ada Ustaz di dalam team saya kata, "Hati saya, dosa saya lagi kotor daripada sampah yang saya kutip ini. Wahai Tuhan, Engkau cucilah hati saya dan perangai saya seperti mana aku cuci dan kutip sampah-sampah ini". Betul kata Ustaz tu. Servis/volunteerism dan khidmat secara percuma ini betul-betul memberi impak yang besar kepada saya. Semoga saya menjadi orang yang lebih bersyukur dan suka membantu selepas menjalani "latihan" ini.

Selepas selesai mengutip sampah, saya juga membantu mak cik-mak cik dan orang kampung mencuci pinggan mangkuk yang berlumpur dan berkarat untuk digunakan semula. Banyak juga yang perlu dicuci. Semasa mencuci pinggan mangkuk, tidak ramai orang lelaki yang membantu kerana kebanyakan mereka mencuci lantai dengan air semburan yang kuat. Golongan lelaki lain menjalankan kerja-kerja berat yang lain seperti mengeluarkan lumpur dari dalam dewan, mencuci lantai, mengangkat kayu-kayu yang roboh dan membetulkan bangunan yang rosak. Kerja-kerja yang sulit dan penuh teliti dilakukan oleh kaum wanita. Di situ saya mempelajari bahawa semua kerja volunteerism adalah besar dan sangat penting dan saling melengkapi. Tidak baik untuk kita melontarkan kata-kata buruk "Kau tak buat kerja, itu dan ini".. kerana kerja-kerja tersebut dilakukan untuk tarbiyah dan pengajaran diri sendiri. Itu antara pengajaran yang saya dapati sepanjang hari tersebut. 

Dewan orang ramai tersebut berjaya siap dibersihkan dan dipulihkan pada pukul 4.00 petang. Selepas itu, team kami diarahkan untuk membantu menyelesaikan kerja-kerja di sekolah (team yang satu lagi) di sekolah Dato Maharaja Lela, Pasir Salak. Di situ, kami berjumpa dengan guru-guru yang baik hati dan mulia. Mereka sangat baik terhadap kami dan melayan kami dengan penuh kasih sayang. Walaupun mereka dilanda musibah dan kesusahan, namun mereka mampu melayan kami sebagai tetamu mereka. Mulianya hati mereka. Betul kata cikgu saya, Guru itu seperti lilin yang sanggup membakar dirinya demi kesenangan orang lain. Semoga saya juga dapat juga sifat mulia guru-guru di situ untuk saya berbakti kepada anak-anak bangsa yang dikasihi di Universiti Malaya tercinta.

Kerja-kerja di sekolah selesai lebih kurang jam 6.00 petang. Ketua Waden sekolah tersebut mengatakan bahawa "UM berjaya selesaikan tugas di sini sebanyak 200%!!". kegembiraan jelas terpancar dari wajah Cikgu Liza, Waden Asrama Sekolah Dato Maharaja Lela. Kami pulang ke Pusat Latihan UiTM pada petang Sabtu tersebut dan bersama dengan keluarga-keluarga mangsa banjir pada waktu malamnya dan rehat untuk Misi hari seterusnya.


Day 3 : 18 Januari 2015 (Ahad)

Hari ketiga, kami diputuskan untuk membaiki Masjid dan Madrasah yang terletak di Kampung Baru Pulau Tiga Kanan, Kampung Gajah. Satu lagi team ditugaskan untuk membersihkan dewan orang ramai juga di kampung tersebut. Pada kali ini, tugas agak berat kerana madrasah tersebut rosak teruk kerana ia terletak berhampiran dengan Sungai Perak.

Madrasah kecil tersebut namanya ialah Sekolah Rendah Agama Rakyat Al Ghufraniah bersebelahan dengan Masjid Al Ghufraniah. Menurut orang kampung, madrasah tersebut menyekolahkan seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah. 

Pada mulanya, kami kebingungan kerana selut dan lumpur penuh dan mejangkaui paras betis kami!. Lumpur yang likat dan mengeras amat menyusahkan pergerakan kami. 

Jadi, Dr. Syed Razak memutuskan kami untuk mengeluarkan kesemua barang-barang daripada madrasah dan diletakkan di perkarangan masjid untuk dicuci dan segala sampah sarap diasingkan di luar pagar madrasah untuk dilupuskan. 

Disebabkan ruang dan halaman madrasah sangat kecil tetapi berlumpur, kami beratur rapat-rapat dan barangan dikeluarkan daripada bilik-bilik kelas dan akhirnya selepas 2 jam barulah kesemua barang-barang seperti meja, kerusi, buku dan perabot lain berjaya dikeluarkan untuk dibersihkan. Al Qur'an dan Kitab-Kitab yang terselamat dipindahkan ke atas surau yang terletak di tingkat dua. Mujurlah madrasah tersebut adalah dua tingkat. Semua barangan berharga ditempatkan di bahagian atas madrasah. 

Dr. Syed memutuskan saya supaya megetuai team mencuci dinding dan Asyraf pula bersama En Mukmin mengetuai team menyembur lumpur dan mencuci lantai dengan sabun. Memang susah untuk mencuci dinding selepas banjir. Saya dan 6 orang ahli PALAPES yang lain bertungkus lumus mencuci dinding-dinding madrasah yang berlumpur. Semasa mencuci dinding madrasah, teringat saya kepada nasihat Ustaz semalam. Jadi dinding-dinding dicuci sehingga putih (tak perlu guna Qu Putih pun! haha)... Lenguh juga pinggang dan bahu dibuatnya. Proses pencucian dan penyentalan dinding tamat selepas 4 jam dan diteruskan dengan team Asyraf dan En Mukmin dengan semburan air dan Dettol untuk bilasan terakhir sehingga bersih.

Di luar madrasah kelihatan ramai para pelajar yang tidak dikenali dan Ahhh! leganya apabila seramai 60 orang para pelajar daripada UTP datang membantu kami dan Dr. Syed mengarahkan mereka untuk membantu team PALAPES yang lain mencuci perabot dan perlatan madrasah yang masih boleh digunakan. 

Pengajaran yang saya dapati dengan kehadiran para pelajar UTP ini adalah walaupun kita berasal daripada latar belakang yang berbeza (UM atau UTP), namun kerja kita semua adalah sama. Tak perlu untuk kita bermusuhan antara UM atau UTP kerana maksud kita dihantar adalah untuk memulihkan dan membantu orang kampung yang memerlukan. Keihlasan dan kegembiraan jelas tergambar daripada para pelajar UTP dan PALAPES UM semasa bekerja dengan semangat teamwork yang tinggi. 




Madrasah selesai dibaiki pada jam 4.25 petang dan kami pulang untuk makan malam di Bandar Teluk Intan, Perak. Pada malamnya, semua staf dan ahli PALAPES berehat dan bersama-sama keluarga mangsa banjir bergembira sambil menonton Anugerah Juara Lagu (AJL) di dewan penginapan.

Day 4 : 19 Januari 2015 (Isnin)

Hari ini adalah hari terakhir kami bersama mangsa-mangsa banjir di Pusat Latihan UiTM Kampung Gajah. Dr. Syed Razak mengarahkan kami untuk bersama-sama membantu menyediakan makanan dan menyediakan jamuan makan tengah hari kepada mereka tanda sumbangan dan kasih sayang pihak UM kepada mereka. Kami juga menjadi semakin rapat dan semakin sayang kepada mereka dan mereka juga menganggap kami seperti anak-anak mereka sendiri. Ada di antara kami yang mengajar dan membantu anak-anak mangsa banjir Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Matematik dan Sains. Ada juga yang bermain-main dengan anak-anak mangsa banjir. Pendek kata, kami semua bergaul seperti satu keluarga. Saya dan Asyraf juga mendapat ayah dan ibu angkat baru. Seronok kami apabila mereka berasa gembira. Kalau nak tolong yang berat-berat kami tak mampu. Nak bina rumah baru kami tak ada duit. Itulah saja yang kami mampu. Kasi orang lain gembira dan motivasi untuk meneruskan kehidupan.

Pada waktu petang pula, kami semua membantu pihak pengurusan petempatan banjir untuk mengasingkan sebanyak 4,000 helai pakaian yang disumbangkan oleh orang awam untuk kegunaan mangsa banjir. Pemprosesan tersebut berakhir pada jam 4.30 petang dan selepas ianya selesai kami pun pulang ke Universiti Malaya. Kami tiba di UM pada jam 8.00 malam.




Semoga kawan-kawan dapat merasai sedikit sebanyak pengalaman manis kami di Kampung Gajah, Perak.
Mohon maaf jika terlalu panjang.

Sekian,

Contact Us

Address: Level 6, Research Management Innovation Complex (RMIC), University Malaya, Jalan Pantai Baru, 50603, Kuala Lumpur 
Phone # : +603-79677357/7358/7360/2429
Fax #: +603-79677949
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.